Thursday 8 January 2015

Mama (part 10)

Januari 2003 (17 Tahun) Hari-hari baru.
Pada asalnya kepulanganku disambut dengan kehadiran para wartawan. Untuk seminggu dua aku menjadi bahan paparan media, wajahku sekali lagi menghias dada-dada akhbar tempatan. Pada awalnya waktu persekolahan ku di Malaysia begitu menyesakkan nafas, satu sekolah membicarakan hal aku. Aku menjadi perhatian para guru, aku tiada kawan kerana semua terlalu sibuk membicarakan hal aku dan Mama. Kehidupan di Malaysia pada awalnya begitu merimaskan namun mujur aku bertermu Ustazah Rozita. Kawan mak yang juga mengajar di sekolahku kerana Ustazah Rozita lah aku kembali ke pangkal jalan. Aku mungkin pelajar yang cemerlang dalam matematik dan sains begitu juga dengan Bahasa Inggeris namun masuk saja Pendidikan Islam, nah akulah remaja paling rosak akhlak di sekolah. Ustazah Rozita lah yang mengajar aku solat, mengaji dan mengajar ilmu-ilmu fardu ain dan kifayah kepadaku.
Masa kian berlalu dan berita tentang diriku akhirnya dimamah usia dan insiden yang berlaku kepada diriku dilupakan oleh masyarakat. Setelah sekian lama aku akhirya mampu menyesuaikan diri dengan kehidupan di Malaysia. Tiada lagi bertukar-tukar passport atau visa. Tiada lagi nama-nama palsu yang perlu aku berikan. Tiada lagi bilik-bilik hotel atau motel jadi tempat inapan. Aku punya ayah aku punya mak dan juga dua orang adik  perempuan. Aku tinggal di dalam rumah dan aku punya sebuah bilik. Inilah kehidupan baru namun masih aku tidak melupakan Mama. Kata-kata Ustazah Rozita terngiang-ngiang di telingaku.
“Hidayah itu milik Allah Lisa. Tiada yang ustazah dapat katakan, melainkan hidayah itu milik Allah. Kita sebagai umat islam hanya mampu menyampaikan ajaran-Nya namun hidayah itu milik Allah sepertimana firman Allah
“Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) tidak dapat memberikan hidayah kepada siapa yang engkau suka, tetapi Allahlah yang memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki.” (Surah Al-Qasas, 28 : 56)
Nabi Muhammad S.A.W sendiri tidak mampu memberi hidayah apatah lagi kita manusia biasa. Kalau benar Lisa sayang pada Mama. Maka berdoalah Allah tunjukkan jalan kepada Mama Lisa. Doalah umurnya masih panjang dan dia sempat menerima cahaya hidayah Allah, mudahan-mudahan dia kembali ke pangkal jalan”

Aku sujud di muka bumi menghadap yang Maha Esa. Ya Allah, ampuni aku, ampuni kedua orang tuaku, ampuni Mama dan berilah dia cahaya hidayah-Mu  ya Allah. Dan masa kian berlalu.

No comments:

Post a Comment